LIMBANG: Dua kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati  apabila masing-masing ditemui terduduk dalam tempayan bilik mandi dan  rentung dalam bilik tidur selepas Rumah Panjang Lembung, Kuala Medalam,  Entakong Medamit dekat sini, yang didiami 200 penghuni musnah dalam  kebakaran, malam kelmarin.
 
Tragedi memilukan berlaku ketika  kanak-kanak malang, Sofizza Camella anak Abang, 6, dikatakan  terperangkap dalam kebakaran dan cuba menyelamatkan diri dengan  bersembunyi dalam tempayan berisi air, sebelum ditemui dalam keadaan  menyedihkan termasuk kesan melecur pada seluruh badannya.
 
Seorang  kanak-kanak lelaki, Alexiss Jipo anak Juli berusia 32 bulan pula ditemui  rentung dalam bilik tidurnya selepas gagal diselamatkan jiran yang  terdengar kanak-kanak itu menangis dalam kejadian yang memusnahkan rumah  panjang 33 pintu, jam 10.30 malam.
 
Ketika kejadian, Alexiss tidur  dalam bilik, manakala Sofizza ditinggalkan bersama neneknya berusia  60-an selepas ibu bapa kanak-kanak malang terbabit keluar menziarahi  penduduk rumah sama yang sakit.
 
Sebelum kejadian, Sofizza Camella dan  Alexiss berada di rumah masing-masing, yang jaraknya dipisahkan  beberapa pintu rumah, dikejutkan dengan tangisan seorang kanak-kanak  sebelum api menjulang dari rumah nombor 12.
 
Difahamkan, tangisan  Alexxis didengari seorang jiran, Satie anak Barol yang mendiami rumah  bersebelahan sebelum bergegas keluar bagi menyelamatkan kanak-kanak  terbabit, tetapi tidak berjaya.
 
Ketua Polis Daerah Limbang,  Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, Sofizza dikatakan berjaya  diselamatkan neneknya sebelum ditempatkan di bahagian ruai rumah panjang  berkenaan.
 
Beliau berkata, sejurus menyelamatkan kanak-kanak itu,  warga emas terbabit masuk semula ke rumah ketika api sedang marak bagi  menyelamat beberapa dokumen penting tanpa menyedari cucunya itu mengikut  dari belakang.
 
“Sebaik keluar, barulah wanita itu menyedari cucunya  hilang sebelum menemuinya terduduk dan sudah tidak bernyawa dalam  tempayan. Polis percaya kanak-kanak terbabit terperangkap ketika masuk  semula ke dalam rumah, tetapi gagal mencari pintu keluar, sebelum masuk  ke dalam tempayan berisi air bagi menyelamatkan diri.
 
“Siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada pelita di bilik tidur kanak-kanak lelaki terbabit sebelum merebak ke rumah lain.
 
“Usaha  menyelamat yang dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat  berdepan kesukaran berikutan lokasi terbabit tidak dapat dihubungi  melalui jalan darat,” katanya.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis  mendapatkan bantuan helikopter daripada Unit Udara Polis Diraja  Malaysia yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, bagi membawa doktor  dari Hospital Limbang bersama pegawai penyiasat, Cif Inspektor Khairol  Ridzuan Ahmad untuk melakukan bedah siasat di lokasi kejadian.
 
Mohd  Bukhori berkata, penduduk rumah panjang membabitkan 200 penghuni cuba  memadam api, tetapi tidak berjaya berikutan usia rumah panjang itu sudah  lama selain diperbuat daripada kayu.
 
Katanya, mayat dua kanak-kanak  malang terbabit diperiksa di lokasi kejadian memandangkan polis berdepan  kesukaran mengeluarkannya untuk dibawa ke Hospital Limbang.
 
“Kanak-kanak  lelaki terbabit rentung, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan  melecur 80 peratus. Siasatan mendapati, tiada unsur jenayah dalam  kejadian itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
 
Difahamkan,  pihak berkuasa menempuh perjalanan dua jam untuk tiba di tempat  kejadian menggunakan jalan darat dari Kuala Medalam, sebelum menaiki bot  selama 30 minit.
 
Sementara itu, nasib keluarga kanak-kanak serta  penghuni rumah panjang berkenaan mendapat simpati Ahli Parlimen Limbang,  Hasbi Habibullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Danau,  Paulus Palu Gumbang yang turut melawat tempat kejadian dan menghulurkan  bantuan awal.
 
No comments:
Post a Comment