BANDA ACEH (Indonesia): Seorang remaja perempuan yang dihanyutkan tsunami Lautan Hindi tujuh tahun lalu, semalam berkata, dia menangis selepas mendapati ibu bapanya yang sudah putus harapan untuk menemuinya masih hidup lagi.
Wati, 15, yang muncul di sebuah kafe di Meulaboh, bandar di wilayah Aceh, awal minggu ini berkata, tidak lama selepas ombak tsunami melanda, dia ditemui dan diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita yang memaksanya mengemis di jalanan, kadangkala hingga jam 1 pagi.
Apabila dia berhenti mendapatkan wang, Wati dihalau keluar oleh wanita itu. Dia kemudian memutuskan untuk mencari keluarganya, tetapi hanya mempunyai sedikit maklumat untuk dijadikan panduan, hanya nama datuknya, Ibrahim.
Seseorang di kafe itu membantu Wati mencari lelaki yang bernama Ibrahim tetapi lelaki yang ditemui itu tidak pasti adakah Wati benar-benar cucunya dan segera memaklumkan ibu bapa remaja itu.
“Apabila saya melihat ibu, saya tahu itu adalah ibu saya. Saya hanya merasakannya,” kata Wati yang diberikan nama itu oleh wanita yang menemuinya. Nama sebenarnya adalah Meri Yuranda.
Kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 dan membunuh 230,000 orang di beberapa negara. Aceh paling teruk kerana ia terletak berhampiran pusat gempa berukuran 9.1 magnitud hingga mengakibatkan ombak besar setinggi 10 meter. Dengan puluhan ribu mayat yang tidak ditemui di wilayah itu, kebanyakan penduduk masih berharap dapat berjumpa dengan orang tersayang dengan meletakkan risalah atau iklan di akhbar.
Bagaimanapun, pertemuan semula amat jarang terjadi dan jika berlaku pun jarang dapat disahkan.
Ibu Wati, Yusniar binti Ibrahim Nur, 35, berkata, dia tidak memerlukan ujian DNA bagi membuktikan remaja itu adalah anaknya.
“Dia memunyai wajah bapanya,” katanya sambil menambah dia sudah tidak percaya akan menemui semula anak perempuannya.
“Kemudian saya nampak parut di mata dan tahi lalat di pinggangnya yang membuatkan saya bertambah yakin,” katanya. Wati dan bapanya mempunyai kisah berbeza mengenai apa yang berlaku pada hari kejadian tsunami melanda. - AP
No comments:
Post a Comment