Thursday, 5 January 2012

Budak Perempuan 2 Tahun Jadi Mangsa Cabul Bapa Sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang budak perempuan berusia dua tahun disyaki menjadi mangsa cabul bapa kandung sendiri pada hari sambutan ulang tahun kelahirannya dalam kejadian di Setapak Jaya, di sini, kelmarin.
 
Tragedi menimpa mangsa hanya dikesan ibunya yang sudah berpisah dengan bekas suami, kira-kira jam 10 malam hari kejadian apabila mendapati anaknya dalam keadaan lemah sebaik dihantar pulang suspek yang sebelum itu datang mengambil mangsa.

 
Sumber polis berkata, ibu kanak-kanak itu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi selepas mendapati terdapat kecederaan pada kemaluan anaknya, selain sering menangis.

 
Katanya, bapa kanak-kanak itu mengambil mangsa kira-kira jam 10 pagi sebelum menghantarnya semula kepada bekas isteri, jam 10 malam.

 
“Sebaik dihantar, kanak-kanak berusia dua tahun itu sering menangis dan murung. Selepas memandikan mangsa, ibunya mendapati kemaluan anaknya cedera. “Sebaik ditanya, kanak-kanak itu hanya menangis sambil menutup mata. Tidak tahan dengan keadaan itu, wanita berkenaan memberitahu ahli keluarga lain yang menghubungi suspek untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya.

 
Sumber itu berkata, bapa mangsa memberitahu anaknya cedera selepas terjatuh di tepi kolam renang sedangkan tiada kecederaan di bahagian lain membuatkan ibu mangsa curiga dengan alasan diberi lelaki terbabit.

 
Katanya, selepas membuat laporan polis, wanita itu menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Ampang.

 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...