Wednesday 28 December 2011

Awas! Penipuan Transaksi Internet Semakin Berleluasa


KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam membuat transaksi bagi pembelian barangan melalui internet berikutan meningkatnya kes penipuan cara itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.
 
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,424 kes dilaporkan berbanding 1,114 kes sepanjang tahun lepas dan 551 kes pada 2009.

 
Jumlah kerugian untuk tahun ini pula ialah RM3.519 juta berbanding RM3.124 juta sepanjang tahun lepas dan RM786,000 bagi 2009, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

 
Beliau berkata pada tahun ini, kes paling banyak membabitkan 'mudah.my' dengan 1,009 transaksi melibatkan kerugian RM1.7 juta, diikuti transaksi lain-lain sebanyak 415 kes dengan kerugian RM1.84 juta.

 
Selain itu, polis juga menerima 2,472 laporan mengenai kes penipuan kewangan atas talian sejak 2008 sehingga Okt tahun ini, dengan kerugian kira-kira RM19 juta.

 
Ramli berkata, modus operandi yang digunakan ialah dengan menyamar sebagai kakitangan bank atau pegawai polis, yang meyakinkan mangsa agar menyerahkan nombor akaun bank bagi mendapatkan tawaran hadiah, menyelesaikan hutang kad kredit atau tawaran mendapatkan barang lelongan kastam.

 
Katanya, mangsa hanya menyedari telah tertipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.

 
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...