KUALA LUMPUR – Penjaga gawang gol skuad bola sepak Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex, ternyata popular dan semakin hari semakin hangat.
Terbaru, dia terpilih untuk menjadi penghias kulit hadapan majalah GLAM Lelaki dengan aksi yang bukan sahaja macho, malah juga seksi.
Dia menghiasi kulit majalah itu bagi edisi Januari/Februari 2012.
Khairul Fahmi, 22, beraksi di depan lensa dengan seorang model, Anastascia yang seolah-olah sedang membuka baju Apex dari belakang.
Majalah GLAM yang mengiktiraf kehadiran Apex di dunia selebriti itu dipercayai bakal menarik ramai peminat untuk memiliki majalah edisi itu setelah turut menampilkan Datuk Siti Nurhaliza sebagai Madonna untuk edisi khas Januari/Februari ini.
Gambar kulit depan yang tersiar di Mediamalaya.com yang memetik dari ruangan forum terkenal, Cari.com.my tersebut turut dicetak tajuk Apex sebagai “The World Class Goalkeeper” (penjaga gol bertaraf dunia) dan dipercayai akan menceritakan kehebatan aksi Apex mengawasi pintu gol skuad bola sepak negara.
Perkembangan ini agak mengejutkan kerana sebelum ini, Apex pernah dilaporkan seolah-olah ingin bersara awal dari karier bola sepak setelah dihujani pelbagai kontroversi yang membabitkan diri dan aktiviti sosialnya.
Persoalannya, apakah Apex benar-benar serius dengan kenyataan ‘merajuk’ tersebut dan beralih arah ke bidang peragaan?
Jika benar, apakah negara dan skuad Harimau Malaya bakal kehilangan seorang penjaga gol yang sangat berpotensi serta berpengalaman seperti Khairul Fahmi Che Mat?
Namun, Apex telah membuktikan bahawa dirinya mampu menjadi fenomena dan memiliki ‘aura’ yang berjaya menarik ramai pihak untuk terus menyokongnya, khususnya setelah mempertahan dan menewaskan skuad Garuda di tempat lawan pada Sukan Sea di Indonesia baru-baru ini.
Tahniah Apex!
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN
No comments:
Post a Comment