Wednesday 28 December 2011

Pasangan Kekasih Berasmara Di Dalam Bilik Mandi Masjid

                                           Lokasi tempat kejadian di sebuah masjid.


KOTA BHARU - Hasrat sepasang kekasih untuk melampiaskan gelora nafsu serakah mereka di dalam bilik mandi sebuah masjid di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dicekup oleh penduduk kampung.


Perbuatan terkutuk pasangan belasan tahun tersebut untuk memadu asmara berjaya dikesan oleh jemaah sebuah masjid di Kampung Pasir Tumboh, dekat sini setelah menyedari terdapat motosikal diletakkan di pekarangan kawasan tersebut.


Seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Pok Cik Ya berusia 60-an memberi­tahu, kira-kira jam 4.20 petang dia melihat terdapat seorang remaja perempuan yang ber­baju kurung memasuki bilik mandi bersebelahan dengan tandas wanita.


Menurutnya, sejurus itu terdapat seorang lelaki memasuki bilik sama dan dia terus memaklumkan kepada jemaah masjid yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Asar berhubung kelakuan mencurigakan itu.


“Selepas beberapa minit berada di dalam bilik mandi, sekumpulan jemaah bertindak mengetuk pintu tetapi pasangan terbabit enggan membukanya.


“Beberapa minit kemudian pasangan terbabit membuka pintu tersebut dan remaja lelaki tadi keluar lalu melarikan diri, dengan meninggalkan teman wanitanya yang kemudiannya menyusul keluar dengan berpakaian lengkap,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut semalam.


Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit yang cuba melarikan diri dari masjid itu berjaya ditahan semula oleh penduduk kampung kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.


”Dengan kerjasama penduduk kampung dan jemaah masjid berkenaan, kita menahan pasangan terbabit dan pada masa sama kita menghubungi keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut,” katanya.


Dia berkata, sejurus kemudian, keluarga pasangan terbabit datang ke tempat kejadian untuk berbincang sebelum membawa pulang ke rumah masing-masing.


Katanya, pasangan terbabit dipercayai bukan penduduk di kawasan berkenaan tetapi perbuatan keji itu mengejut jemaah masjid dan penduduk kampung apabila terserempak mereka melakukan perbuatan maksiat di dalam bilik mandi yang terletak di dalam kawasan masjid.


Menurutnya, kelakuan pasangan terbabit telah mengaibkan orang Islam kerana menggunakan kawasan masjid melakukan maksiat dan remaja sekarang sudah tidak mempunyai perasaan malu serta takut untuk melakukan perbuatan terkutuk di masjid.


Katanya, sepanjang tinggal di kampung ini, tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan penduduk terkejut apabila ia dilakukan penduduk bukan tempatan.-Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...