
KULIM HI-TECH, Kedah - Penduduk di Taman Kulim Perdana dekat sini digemparkan dengan penemuan lembaga wanita berambut panjang, serba putih yang sering bertenggek di palung air di selekoh masuk ke taman perumahan itu pada waktu malam.
Pekerja industri, Hamzah Mohamad, 32, berkata, dia  pernah ternampak lembaga itu sekitar jam 1 pagi ketika dalam perjalanan  balik ke rumahnya.
Menurutnya, lembaga itu sangat menggerunkan kerana ia dapat dilihat dari jauh.
“Ketika kejadian saya baru sahaja selesai menghantar pekerja industri yang bekerja petang balik ke rumah.
“Saya  kemudiannya menggunakan jalan pintas di hadapan Politeknik Kulim untuk  ke Sungai Kob. Dari jarak 40 meter sebelum sampai ke selekoh masuk ke  Taman Kulim Perdana, saya nampak kelibat seorang wanita berdiri di tepi  jalan.
“Apabila jarak saya semakin hampir dengan selekoh itu,  saya nampak dengan jelas lembaga itu bertenggek di atas paip air. Lebih  menakutkan apabila dia memandang ke arah saya di mana kepalanya  berpusing hingga ke belakang,” katanya.
  
                      Lokasi palung air di selekoh masuk ke taman berkenaan.

Sementara  itu, seorang pengamal perubatan tradisional yang hanya mahu dikenali  Rosli berkata, lembaga yang dilihat selama ini adalah langsuir.
“Langsuir  ini merupakan seorang wanita yang terbunuh ketika bersalin atau  dibunuh. Mungkin lembaga itu pernah terbunuh dalam kemalangan di sekitar  kawasan itu.
“Bagi mereka yang menggunakan jalan itu harus  lebih berhati-hati kerana kecuaian atau terlalu memberikan perhatian  kepadanya akan mengakibatkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Cubaan Sinar Harian pergi ke tempat kejadian untuk merakamkan imej lembaga itu bagaimanapun gagal.




No comments:
Post a Comment