Monday 19 December 2011

Wanita Didera Dan Ditikam Oleh Kekasih Siber Laman Sosial ‘Tagged’

                                                     Bahaya Cinta Siber..

JOHOR BAHRU: Impian wanita berusia 41 tahun berkahwin dengan ‘pucuk muda’ yang juga seorang warga asing bertukar mimpi ngeri apabila dikurung serta didera termasuk ditikam sepanjang lima bulan berada di kediaman keluarga lelaki itu di Amman, Jordan.


Mangsa, Ngooi Sew Lan, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa dirinya anak hartawan ketika berkenalan melalui laman sosial ‘Tagged’ awal Januari tahun ini. “Saya berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Hamada ketika bertugas sebagai pengurus restoran di London, United Kingdom (UK).

                    Laman sosial 'Tagged' yang menjadi kegilaan diseluruh dunia

“Saya mula menjalin hubungan cinta kerana tertarik dengannya. Kami serasi bersembang menggunakan Bahasa Inggeris dan Cina serta mendakwa dirinya ahli perniagaan,” katanya di sini, semalam.


Menurut Ngooi, dia kemudian bersetuju mengikuti Hamada ke Jordan untuk bertemu keluarga lelaki terbabit sambil melancong di sana.

           Kesan Tikaman di belakang badan Ngooi angkara kekasih sibernya.

Pada masa sama, dakwa Ngooi, Hamada meminjam RM48,000 daripadanya dengan alasan mahu meluaskan empayar perniagaan ke China.


“Pada mulanya, Hamada bersikap romantik tetapi tiba-tiba berubah seperti orang kurang siuman selain begitu obses terhadap saya.


“Bukan setakat dibelasah, malah dia pernah menikam belakang badan saya ketika berada di rumah keluarganya di Amman menyebabkan saya kehilangan banyak darah,” katanya.


Ngooi mendakwa, ketika itu dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk bantuan kerana sentiasa dikawal Hamada serta keluarganya dan barangan peribadinya termasuk pasport turut disimpan lelaki itu.


“Selepas ditikam dan dihantar ke hospital, saya menghubungi kakak di Malaysia bagi mendapatkan bantuan, 12 Jun lalu.


“Doktor memaklumkan saya bernasib baik kerana cepat dihantar ke hospital, jika tidak saya boleh kehilangan nyawa akibat cedera parah,” katanya.


Menurut Ngooi, tindakan kakaknya meminta bantuan pihak berkuasa negara ini dan Jordan membolehkan dia terlepas kawalan Hamada serta pulang ke negara ini dengan selamat.


Justeru, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Jordan yang menyelamatkannya selain menasihati golongan wanita tidak terpedaya dengan helah lelaki terutama dikenali menerusi Internet.


Bagaimanapun, kata Ngooi, Hamada masih menghubungi dan meminta dia menerimanya sebagai kekasih selain mendakwa tidak boleh hidup tanpa dirinya.


“Saya fobia masih diganggu Hamada, namun saya tidak akan memenuhi permintaannya untuk kembali bersama sebagai pasangan kekasih,” katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou berkata, dia menerima panggilan telefon kakak mangsa, Bong Yeng Phong, 42, memaklumkan situasi menimpa Ngooi lalu menghubungi Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jordan.


Menurut Mok, tindakan pantas pihak berkuasa dengan bantuan polis Jordan membebaskan Ngooi pada 30 Jun lalu sebelum dibawa pulang ke negara ini.

 Oleh Mohamad Fahd Rahmat

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...